Pages

Ahad, 17 April 2016

Kesimpulan



Sektor pelancongan merupakan satu industri yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Ia merupakan satu sektor yang penting bagi meningkatkan hasil pendapatan Negara melalui peningkatan jumlah pelancong yang berkunjung. Pergerakan dan perbelanjaan para pelancong mampu meningkatkan pendapatan negara melalui cukai membeli belah, cukai penginapan, cukai makanan dan juga melalui pertukaran matawang asing. Di samping itu, sektor pelancongan juga dilihat mampu menjana pendapatan dan ekonomi penduduk setempat dengan penyertaan mereka dalam industri tersebut. Kerajaan Persekutuan telah melakukan pelbagai pelaburan dengan jumlah peruntukan dana yang tinggi bagi membangunkan sektor pelancongan negara.

            Tugas menarik kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja supaya industri pelancongan dapat dimajukan. Setiap anak watan perlu merancang usaha-usaha yang istiqamah, pragmatik dan efektif perlu diambil untuk melihat industri ini merentasi benua dan dunia. Langkah prima untuk meningkatkan industri pelancongan negara ialah kerajaan perlu memperlengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan di negara kita sehingga menjadi prasarana kelas pertama terutamanya destinasi yang menjadi tumpuan pelancong. Pelbagai lapisan masyarakat perlu sama-sama membantu meningkatkan bidang pelancongan negara seterusnya dapat menyumbang kepada kemajuan negara.

Langkah-Langkah Untuk Mendorong Dan Membangunkan IKS Luar Bandar


Pembinaan IKS di kawasan-kawasan luar bandar juga dapat membantu meningkatkan sektor pelancongan melalui pertanian dan perikanan. Kita sedia maklum bahawa IKS memerlukan bahan-bahan mentah untuk proses pengeluaran kilang mereka. Biasanya bahan-bahan mentah ini adalah daripada hasil pertanian, perikanan atau perhutanan. Tamsilnya kilang membuat keropok memerlukan hasil tangkapan laut, manakala kilang kerepek pula memerlukan hasil pertanian seperti ubi, keladi, pisang, jagung dan lain-lain. Secara tidak langsung aktiviti pertanian dan perikanan turut meningkat di kawasan tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk kampung yang selama ini sukar untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para pengusaha IKS.
Hukum ekonomi menjelaskan bahawa kadar permintaan mempengaruhi penawaran dan harga barangan. Implikasinya harga barang mentah pertanian seperti ubi, pisang, keledek, keladi akan meningkat. Secara   tidak langsung sektor pertanian akan meningkat. Hal ini, diperkukuhkan lagi dengan dasar kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan pendapatan petani dan nelayan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha memenuhi permintaan IKS terhadap bahan mentah yang semakin meningkat kerajaan melalui agensi-agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, PELADANG dan sebagainya telah memberi khidmat kepakaran dan subsidi kewangan kepada para petani dan nelayan. Jadi, IKS ini merupakan serampang dua mata kerana kewujudannya bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi malahan dapat membasmi kadar kemiskinan rakyat di negara kita yang tercinta ini.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa melancong ke Malaysia umpama telah melancong ke separuh dunia. Hal ini kerana, di Malaysia terdapat pelbagai kesenian dan budaya daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama. Apakah kaitan penyataan ini dengan IKS? Kolerasinya ialah kewujudan IKS dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Kita sedia maklum bahawa para pelancong suka membeli kraftangan untuk dibawa pulang. Sebenarnya di Malaysia terdapat banyak barangan kraftangan daripada pelbagai etnik dan kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Sebagai contoh perusahaan membuat tembikar, pasu bunga, ukiran, labu sayong, batik, songket, tikar, bakul barangan hutan dan lain-lain lagi. Hasil kraf tangan melambangkan identiti serta jati diri negara. Para pelancong membelanjakan berjuta - juta ringgit untuk membeli kraftangan ini sebagai cenderamata kenang-kenangan atau hadiah kepada rakan-rakan apabila pulang kelak. Dalam hal ini peribahasa Melayu ada menyebut bahawa “tak tumbuh, tak melata, tak sungguh orang tak kata”. Hal ini menjelaskan bahawa kualiti serta keunikan kraftangan Malaysia akan menarik lebih ramai pelancong ke negara kita. Ironinya perkara ini bukan sahaja akan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.

Sistem Sokongan Oleh Pihak Kerajaan Dan Swasta Yang Di tawarkan Untuk Pembangunan Industri Pelancongan


Pada tahun 1972, Akta Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia 1972 telah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat persetujuan Diraja dan dengan ini Perbadanan menjadi sebuah badan berkanun.  Ahli-ahli Lembaga Pengarang adalah dilantik oleh Y.B. Menteri Perdagangan dan Perindustrian dan adalah bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Perbadanan dan pentadbiran am mengenai hal ehwal dan urus Perbadanan.  Di dalam menjalankan tugas-tugas yang diperuntukkan, garis-garis yang ditetapkan oleh Perbadanan adalah seperti memperkenalkan Malaysia di dalam pasaran antarabangsa dan serantau, menambahkan perjalanan warganegara Malaysia di masa cuti di antara negeri bagi menggiatkan lagi perkembangan pelancongan dalam negeri menyertai dalam pembangunan fizikal industri pelancongan, mengadakan perhubungan perwakilan dan menjalani tugas-tugas yang berhubung dengan pelancongan  Antarabangsa  dan serantau,  mengikuti perkembangan pembangunan dan mempastikan keperluan sekarang dan masa depan bagi pelancong-pelancong dalam negeri dan luar negeri dan juga membuat pengesyoran bagi pembangunan Wilayah, mengumpul, mengolah data-data pelancongan dan keterangan-keterangannya bagi penggunaan statistic pelancongan, mengatur, mengawal dan menentukan Industri Pelancongan berkembang bagi kepentingan negara.
            Dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6: 1991-1995), kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan produk-produk pelancongan baru. Kemudian, pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dengan menawarkan 170 program dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan pameran. Pelbagai aktiviti yang menarik telah  diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.  Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti  pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi   yang   lengkap   dan   meluas.  Penganjuran  sukan   bertaraf   antarabangsa   dapat memperkenalkan  negara  kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar  negara  seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi jugaterbilang dalam bidang pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan   tanpa   menunggu   musim-musim   tertentu   sahaja. Dengan   cara   ini,   kita   dapat meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang diperoleh daripada kedatangan pelancong ke negara kita.
            Dalam usaha untuk memasarkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Hasilnya, baru-baru ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di kota London untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini didapati telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga negara berkenaan. Selain  itu, Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Tuntasnya, promosi yang telah diatur sudah pasti akan merancakkan sektor pelancongan di Malaysia. Pada masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada. Kini, terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor ekopelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agro pelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk memajukan pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang perubatan. Tidak dapat kita nafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan.
            Salah satu cara sokongan kerajaan dalam meningkatkan industri pelancongan adalah melalui, fungsi tourism Malaysia. Tourism Malaysia akan memanfaatkan promosi dan pemasaran digital sepenuhnya melalui penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial yang inovatif untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang disesuaikan mengikut keperluan segmen pasaran khusus. Media sosial akan digunakan untuk menguasai pasaran pelancong memandangkan pandangan dan ulasan dalam talian menjadi semakin popular sebagai rujukan kepada pelancong dalam membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri akan digalakkan untuk memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan memanfaatkan platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran akan dipertingkatkan untuk lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan yang menarik dan relevan.

Usaha ini adalah untuk membolehkan kecekapan dan keberkesanan dalam pembangunan pelancongan secara lestari dengan penggunaan sumber secara optimum dapat dicapai. Semua projek pelancongan akan dibangunkan berdasarkan Dasar Pelancongan Negara.

Halangan Dan Cabaran Industri Pelancongan


Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh sektor pelanconagan di negara kita pada masa depan.
                Antara cabaran yang dihadapi termasuklah persaingan sektor pelancongan dengan negara-negara yang lain. Hal ini demikian,bukan sahaja negara kita tetapi negara-negara yang lain juga mengetahui kebaikan dan kepentingan sektor pelancongan terhadap sesebuah negara. Oleh itu banyak negara mempromosikan pelancongan di negara mereka dan kita hendaklah bersaing dengan mereka untuk menjadi destinasi utama pelancong. Oleh itu, kita haruslah membuat persediaan yang cukup untuk menarik para pelancong ke negara kita. Di samping itu, pencemaran alam sekitar juga merupakan salah satu cabaran sektor pelancongan di negara kita pada masa depan. Hal ini disebabkan,  pencemaran alam sekitar kebelakangan ini menjadi semakin buruk akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir ahli masyarakat dan telah merosakkan kecantikkan alam sekeliling kita. Pada masa kini, negara kita mempunyai alam sekeliling yang cantik sekali dan telah menjadi tulang belakang bagi sektor pelancongan di negara kita. Jika pencemaran alam sekitar menjadi buruk,  sektor pelancongan di negara kita pasti dijejaskan kerana pelancong-pelancong  hendak menikmati persekitaran yang cantik dan bersih bukan yang kotor serta busuk.
              
            Selain itu, tidak kestabilan politik di negara kita juga merupakan cabaran yang kita akan hadapi. Politik yang tidak stabil akan menjejaskan imej negara. Sebagai contoh,  pergaduhan yang berlaku kebelakangan ini di Thailand. Kekeliruan ini telah menyebabakan pelancong dari negara lain tidak berani pergi ke sana disebabkan kaselamatan diri semasa melancong. Ramai pelancong tidak lagi suka datang ke sini atau memberitahu kawan-kawan mereka tentang keindahan negara kerana imej yang sudah terjejas itu. Lama-kelamaan, imej yang tidak dijaga ini akan membawa lebih banyak kemusnahan imej. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan.  Negara kita akan menghadapi banyak cabaran dalam sektor pelancongan pada masa depan. Kita sebagai ahli masyarakat haruslah bersama-sama untuk menghadapi segala cabaran masa depan bagi menjanjikan sektor pelancongan sebagai tulang ekonomi di negara kita.

Kepentingan Dan sumbangan Industri Pelancongan Terhadap Pembangunan Ekonomi Negara


Kepentingan dari segi ekonomi, sektor pelancongan dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita.Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan atau di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara.

            Di samping itu,sektor pelancongan juga dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah kerana pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan yang lain-lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama ada menikmati makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Pelancong juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan.
            Selanjutnya, pelancongan turut menarik pelabur asing. Kegiatan pelancongan yang aktif memudahkan kerajaan menarik lebih ramai pelabur asing untuk menanam modal di negara ini. Industri pelancongan bukan hanya untuk pelabur yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel, pengusaha taman tema, pengusaha pusat beli-belah, dan sebagainya malahan dapat menarik pelabur asing dalam bidang yang tiada kaitan dengan pelancongan seperti pengangkutan dan pembinaan. Kerajaan dapat mengelakkan pembaziran wang negara digunakan untuk mengindahkan kawasan-kawasan pelancongan yang menelan kos terlalu tinggi. Sebagai contohnya,  Pulau Langkawi yang dibangunkan sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia, pihak kerajaan dan swasta terpaksa melabur sebanyak RM4.5 bilion. Adalah lebih bermanfaat kos yang terlalu tinggi  disalurkan untuk memenuhi keperluan rakyat yang lebih mendesak dengan membina lebih banyak rumah kos rendah untuk mereka yang masih tidak berumah. Jelaslah, kehadiran pelabur asing yang ramai dapat membantu kehidupan masyarakat kita, terutamanya di kalangan mereka yang miskin dan terabai akan lebih terjamin. Oleh itu,sektor pelancongan ini telah banyak menyumbang dari segi ekonomi terhadap negara kita.

Tahap Pembangunan Industri Pelancongan


Dalam konteks Malaysia, pelancongan terus menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Kedatangan pelancong sejumlah 16.4 juta pada tahun 2005 telah menyumbang sebanyak RM 18.1 bilion kepada pendapatan negara (Malaysia, 2006). Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi oleh perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada masa hadapan. Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada pendapatan negara, maka pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam perancangan dan perlaksanaan industri pelancongan secara mampan (Nurulashila Khalid, 2006).

 Sistem Pelancongan
            Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan baru yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri lain yang berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju menjelang tahun 2020. Dalam sistem pelancongan, aspek yang perlu diberi penekanan adalah kewujudan pelancong, pembekal barangan ataupun perkhidmatan pelancongan, kerajaan dan juga tuan rumah destinasi yang terpilih. Dalam erti kata lain, keempat-empat elemen ini perlu terlibat dalam mewujudkan sebuah industri pelancongan. Apabila seseorang individu itu melancong, bermakna mereka adalah pelancong yang memerlukan perkhidmatan seperti penginapan dan pengangkutan. Dalam sistem pelancongan terdapat dua bahagian utama yang memainkan peranan dalam menentukan perkembangan dan kemajuan dalam industri pelancongan iaitu bahagian pasaran dan  bahagian pembekalan.

Komponen Populasi
            Dalam bahagian pasaran, kompenen yang memainkan peranan dalam menentukan perkembangan dan kemajuan industri pelancongan ialah kompenen populasi. Dalam pelancongan, individu yang terlibat dikategorikan kepada dua iaitu penduduk setempat dan pelawat. Apabila kedua-duanya mengembara, wujudlah istilah pengembara atau pelawat. Pengembara pula dapat dilihat dalam dua aspek iaitu mereka yang mengembara dalam skop pelancongan dan mereka yang mengembara bertujuan memenuhi aktiviti lain. Mengikut perspektif pelancongan, mereka yang mengembara dalam skop pelancongan dikenali sebagai pelancong.

            Pelancong biasanya mempunyai motivasi yang berbeza yang mendorong mereka untuk melancong seperti terdapat pelancong yang melancong bertujuan untuk menambah minat dalam kehidupan dan terdapat juga pelancong yang melancong sekadar untuk memenuhi keperluan untuk berehat dan mengenali diri sendiri. Pelancong yang mempunyai motivasi yang berbeza mendorong seseorang untuk melancong dan mempengaruhi kehendak terhadap lawatan yang dilakukan seperti pelancong yang merasakan hidup terlalu pendek berkecenderungan untuk mencuba segala aktiviti dan melawati destinasi-destinasi yang sukar didapati. Selain itu, pelancong biasanya melancong ke suatu destinasi bertujuan memenuhi beberapa aktiviti antaranya tujuan perniagaan, melawat kawan dan keluarga atau serta berhibur. Tujuan mereka melancong ini seterusnya mewujudkan kategori dan jenis pelancong dalam industri pelancongan.

Bahagian Pembekalan
            Bagi melengkapkan keberkesanan dan keselesaan dalam industri pelancongan, pembekal perlu membekal serta menawarkan produk atau pun perkhidmatan pelancongan kepada pelancong. Terdapat tiga kompenen utama yang perlu diberi perhatian dalam industri pelancongan. Kompenen-kompenen ini adalah:

Komponen Pengangkutan
            Sektor pengangkutan memainkan peranan penting bagi memastikan pelancong sampai ke destinasi yang hendak dituju. Malah, sektor pengangkutan masa kini adalah salah satu produk yang ditawarkan dalam industri pelancongan. Terdapat pelbagai mod pengangkutan antaranya jalan raya, air, udara dan landasan. Pengangkutan yang berdasarkan mod jalan raya lebih mudah ditawarkan kerana ia banyak digunakan masa kini memandangkan kos penggunaannya juga lebih murah. Malah, bagi tujuan pelancongan masa kini, penggunaan bas ekspres sering kali digunakan terutamanya oleh mereka yang melancong secara berkumpulan. Mod pengangkutan udara walaupun mahal tetapi penting kerana ia dapat menghubungkan destinasi yang tidak mempunyai mod pengangkutan jalan raya dan air. Penggunaan pengangkutan udara juga dapat menjimatkan masa terutamanya perjalanan antarabangsa. Mod pengangkutan air pada masa kini lebih kerap digunakan dalam pelancongan bagi tujuan berehat dan berhibur. Ini terbukti dengan wujudnya kapal pelayaran. Pemilihan pelancong dalam memilih mod pengangkutan dipengaruhi oleh beberapa aspek. Antaranya, pelancong lebih cenderung memilih pengangkutan mengikut jarak destinasi yang hendak mereka kunjungi. Pelancong juga lebih cenderung memilih mod pengangkutan yang dapat menawarkan keselesaan dan mempunyai status yang tinggi.
            Selain itu, pelancong lebih menitik beratkan aspek keselamatan dan harga dalam memilih mod pengangkutan. Ini memandangkan industri pelancongan masa kini sering kali tergugat oleh faktor-faktor di luar jangkaan seperti pengganas dan bencana alam. Sistem pengankutan yang sistematik akan memudahkan pelancong asing pergi dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Dengan adanya sistem pengangkutan yang mengenakan tambang pada harga yang berpatutan, selamat, selesa, cekap dan mengikut jadual yang ditetapkan, para pelancong mudah pergi ke sesebuah tempat tanpa perlu menghadapi banyak masalah. Antara contoh pengangkutan moden yang terdapat di Malaysia ialah monorel, komuter, kapal laut, bas, teksi dan sebagainya. Mereka tidak lagi berhadapan dengan masalah pengangkutan untuk pergi ke kawasan pulau dan tanah tinggi. Sebagai contoh, para pelancong boleh menggunakan perkhidmatan feri atau kapal terbang untuk pergi ke Pulau Langkawi. Terbukti bahawa pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi di Malaysia. Sesebuah destinasi pelancongan tidak mungkin berkembang tanpa sokongan infrastruktur pengankutan yang baik.

 Komponen Tarikan
            Peningkatan jumlah kedatangan pelancong di sesuatu kawasan pelancongan banyak berkaitan dengan daya tarikan yang terdapat di destinasi pelancongan tersebut. Daya tarikan yang unik dan tersendiri merupakan kuasa magnet yang menarik seseorang untuk melancong ke destinasi tersebut. Pelancong lebih berminat untuk melancong ke sesuatu destinasi pelancongan yang mempunyai ciri-ciri tarikan semula jadi seperti Gunung Kinabalu. Selain itu destinasi pelancongan yang mempunyai ciri-ciri tarikan kebudayaan juga dapat menarik minat pelancong untuk melancong di destinasi pelancongan tersebut. Contohnya, negeri Melaka yang mempunyai elemen-elemen sejarahnya dan keunikan budaya kaum seperti Portugis dan Baba Nyonya yang tiada di negeri-negeri lain di Malaysia menyebabkan Melaka terkenal dengan Bandaraya Bersejarah.

 Komponen Perkhidmatan
            Kompenen perkhidmatan merupakan kompenen yang penting dalam industri pelancongan di sesebuah Negara. Ini kerana faktor penentu kepada kemasukan pelancong di sesebuah tempat pelancongan berkait rapat dengan kompenen perkhidmatan yang ditawarkan oleh industri pelancongan tersebut. Semakin tinggi kemudahan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah industri pelancongan semakin tinggi jumlah kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan tersebut. Kompenen perkhidmatan meliputi segala bentuk kemudahan yang digunakan oleh pelancong semasa berada di destinasi pelancongan. Elemen-elemen perkhidmatan diperlukan oleh pelancong di destinasi pelancongan yang mereka lawati adalah untuk menyokong mereka menjalani kehidupan sepanjang mereka berada di destinasi pelancongan.

            Antara kompenen perkhidmatan yang diperlukan oleh pelancong untuk menyokong mereka menjalani kehidupan sepanjang berada di destinasi pelancongan ialah penginapan. Oleh kerana pelancong itu sendiri membawa maksud ke luar dari tempat tinggal asal, maka ia juga membawa maksud pelancong menginap di tempat itu. Di sini jelas sektor penginapan penting bagi memenuhi keperluan pelancong. Sektor penginapan juga menawarkan pelbagai bentuk penginapan dan makanan kepada pelancong. Antara jenis penginapan yang ditawarkan kepada pelancong adalah yang berbentuk tidak perlu dibayar ataupun perlu bayaran yang murah seperti hostel atau asrama sekolah.

Maklumat dan Promosi
            Maklumat atau promosi juga penting dalam industri pelancongan bagi mempromosikan aktiviti-aktiviti dan pengalaman-pengalaman yang boleh diperolehi oleh pelancong sepanjang berada di destinasi pelancongan tersebut. Bagi meningkatkan kedatangan pelancong di sesuatu destinasi pelancongan pihak pengurusan perlu menyediakan maklumat-maklumat yang ditawarkan sebelum dan semasa pelancong melancong di destinasi tersebut. Maklumat-maklumat yang boleh dipromosikan adalah seperti aktiviti-aktiviti dan pengalaman yang ditawarkan, tarikan-tarikan yang boleh mendorong pelancong untuk melancong ke destinasi tersebut, pengankutan dan kos yang diperlukan untuk sampai ke destinasi pelancongan tesebut dan tempat-tempat penginapan yang boleh didapati di kawasan pelancongan tersebut. Selain itu, pihak pengurusan perlu mempromosikan latar belakang sesuatu destinasi pelancongan seperti bahasa dan budaya yang digunakan oleh penduduk tempatan bagi memudahkan pelancong berkomunikasi danberinteraksi dengan penduduk tempatan.

            Pelancongan luar bandar melibatkan kepelbagaian aktivirti, perkhidmatan dan keselesaan yang disediakan oleh penduduk luar bandar. Di Malaysia pembangunan pelancongan desa semakin berkembang sejak 20 tahun lepas melalui pembangunan program-program homestay. Dalam konteks Negara ini, pelancongan desa merujuk kepada pembangunan program-program homestay di kampung-kampung berjaya di seluruh Malaysia. Inisiatif kerajaan dalam membangunkan program homestay sebagai produk pelancongan desa adalah satu pendekatan yang baik dalam memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi tradisional tempatan. Namun tahap pencapaian sehingga kini, perubahan hanya berlaku dari aspek kuantiti program tetapi dari aspek kualiti program homestay tidak jauh berbeza.

Apa itu Industri Pelancongan

Perkataan tourism datang daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan.Pada awalnya, Jafari (1977) mendefinisikan pelancongan sebagai, “Suatu kajian manusia yang bertentangan dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran. Seterusnya, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan sebagai, “Suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari.” Walaupun definisi ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi pengertian yang jelas berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat dalam industri pelancongan. Secara khususnya WTO atau World Tourism Organization merujuk kepada, “Aktiviti pengembaraan seseorang individu ke suatu tempat keluar daripada persekitaran asalnya dan menetap di situ tidak lebih daripada setahun bagi tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya.” Definisi WTO ini secara langsung membawa kepada pengertian apa yang dimaksudkan sebagai pelancongan antarabangsa, pelancongan dalaman, pelancongan domestik dan pelancongan kebangsaan.Selain itu, McIntosh dan rakan-rakan (1995) mengatakan bahawa pelancongan adalah suatu fenomena dan hubungan yang wujud akibat daripada interaksi di antara pelancong, ahli perniagaan, kerajaan dan komuniti selaku tuan rumah dalam proses menarik pelancong dan pelawat asing.” Secara tidak langsung, definisi ini menjelaskan pelancongan adalah lawatan atau pengembaraan ke suatu tempat lain dalam tempoh semalam, bertujuan berhibur, berehat, berniaga dan sebagainya.
            Dari segi perspektif sejarah pula, pelancongan adalah bermula kira-kira 5000 tahun yang telah lalu selaras dengan perkembangan pertanian intensif, kota, kapal laut dan juga wang sebagai satu medium pertukaran pada tahun itu. Perjalanan ini telah berlaku yang didorong oleh perdagangan, ketenteraan dan pentadbiran kerajaan dari empayar besar seperti Sumeria, Yunani, Mesir, Parsi dan Rom di rantau Mediterranean dan juga Timur Tengah. Apabila empayar tersebut telah berkembang terutamanya di dalam abad yang ke dua Masihi, orang-orang Rom khususnya telah membina sistem jalan raya yang lebar dan telah membinanya dengan sangat baik sekali bertujuan untuk menyediakan perhubungan pentadbiran dan juga perdagangan dari seluruh empayar dari Tembok Hadrian di Britain hingga sampai ke Euphrates di Timur Tengah. Rumah-rumah tumpangan yang telah didirikan di setiap 30 batu di sepanjang jalan dan terdapat beberapa buah hotel-hotel di kebanyakkan bandar-bandar. Rumah-rumah tumpangan ini telah dikaitkan dengan piktograf yang telah menunjukkan status kemudahan dan juga perkhidmatan.